TAJUK 6: PENGURUSAN BILIK DARJAH


PENDAHULUAN
Pengurusan bilik darjah adalah satu proses pembentukan suatu alam pembelajaran serta usaha untuk mengekalkannya dimana iklimnya kondusif untuk pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran agar objektif yang ditetapkan tercapai (Mok Soon Sang, 2011). Perkara tersebut melibatkan pembinaan suasana pembelajaran yang terbaik dalam bilik darjah bagi meningkatkan motivasi pelajar dan memperkembangkan sikap tanggungjawab serta kebolehan untuk membuat perancangan sendiri (Noraini Idris, 2009).
Pengurusan bilik darjah bermaksud bagaimana guru dan pelajar bekerja, bagaimana mereka saling berkerjasama dan bagaimana pengajaran dan pembelajaran berlaku. Perkara tersebut merupakan kerjasama antara guru dan pelajar untuk mengurus segala aspek terdapat dalam bilik darjah yang melibatkan pengurusan pelajar, kemudahan fizikal serta aktiviti yang dilaksanakan agar satu alam belajar yang kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran dapat diwujudkan (Mok Soon Sang, 2011).
Pengurusan bilik darjah bukan sahaja melibatkan pengurusan tingkah laku pelajar tetapi merangkumi tindakan guru untuk mewujudkan dan mengekalkan persekitaran pembelajaran dalam bilik darjah (Choong Lan Keow, 2009). Kecekapan dan keberkesanan kemahiran guru dalam mengurus bilik darjah dapat menggalakkan pembentukan iklim pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.
Secara umumnya, pengurusan bilik darjah adalah satu proses yang melibatkan penyusunan fizikal sesebuah bilik darjah, galakan komunikasi dan interaksi antara murid.
Bilik darjah adalah tempat yang berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran dan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah merupakan persekitaran pembelajaran yang merangkumi aspek murid, guru, ruang dan alat pembelajaran. Pengurusan bilik darjah memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang, kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran, kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan mampu mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK).



ISI PENTING
Terdapat 3 isi penting yang telah saya pelajari dalam tajuk pengurusan bilik darjah iaitu aktiviti pengajaran berkumpulan, pusat pembelajaran, dan penyediaan bahan pengajaran dan pengurusan sumber. Ketiga-tiga elemen ini sangat penting dalam pengurusan bilik darjah.

Aktiviti Pengajaran Berkumpulan
Aktiviti pengajaran berkumpulan merupakan satu kaedah pengajaran yang memerlukan pelajar menjalankan aktiviti dalam kumpulan. Dalam aspek ini, pengelompokan murid adalah dibuat berdasarkan peringkat kebolehan, pelbagai kebolehan dan minat. Kebiasaannya terdapat tiga peringkat murid, iaitu cerdas, sederhana dan lemah. Murid dikelompokkan dalam kumpulan sama ada mengikut kebolehan atau berbeza kebolehan.
Pengajaran berkumpulan dengan tujuannya dapat memudahkan guru untuk membimbing murid kerana hal ini dapat menggalakkan penglibatan aktif setiap murid melalui aktiviti pengajaran berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada murid-murid yang berlainan tahap pembelajaran. Dengan ini, murid yang cerdas boleh membantu murid yang lemah. Hal ini secara tidak langsung memupuk rasa tanggungjawab dan kerjasama antara murid.
Antara prinsip pengajaran berkumpulan ialah guru sentiasa bersedia menghadapi pelbagai situasi yang akan berlaku sepanjang sesi PdP. Perhatian guru adalah sama rata kepada semua kumpulan. Hal ini dapat memastikan penglibatan pelajar yang aktif dalam pembelajaran dan perbincangan serta dapat memupuk rasa bertanggungjawabdan saling tolong-menolong apabila murid yang cerdas dan pandai dapat membantu pelajar yang lemah. Dalam pengajaran berkumpulan, segala aktiviti yang akan dijalankan akan dirancang terlebih dahulu.

Pusat Pembelajaran
Pusat pembelajaran adalah ruang dalam bilik darjah yang dilengkapi dengan pelbagai bahan sumber dan dibina mengikut kreativiti guru dan murid. Ia diwujudkan untuk menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara formal atau tidak formal. Dengan adanya pusat pembelajaran, sesi pengajaran dapat dilakukan dengan pelbagai teknik, kaedah dan pendekatan.
Pusat pembelajaran berfungsi sebagai tempat guru untuk melaksanakan aktiviti pengajaran dengan penekanan penglibatan maksimum dan pelbagai bahan, selain dijadikan tempat mempamerkan hasil kerja murid bagi membina kreativiti dan keyakinan murid. Pada masa yang sama, pusat pembelajaran turut menyediakan ruang, peluang dan bahan kepada murid menggunakan lebih drpd satu deria dalam sesi pembelajaran.
Dalam pada itu, pusat pembelajaran perlu diurus secara usahasama antara guru dan murid. Kedua-dua pihak mempunyai peranan tersendiri dalam hal menguruskan pusat pembelajaran. Guru berperanan untuk merancang dan menyediakan jadual waktu penggunaan pusat pembelajaran, menyenarai bahan dan alat yang ada di pusat pembelajaran untuk pengesanan serta melantik ketua kumpulan supaya semua tugas dapat dijalankan dengan baik. Manakala murid dikehendaki mematuhi arahan guru ketika menggunakan pusat pembelajaran.

Penyediaan Bahan Pengajaran dan Pengurusan Sumber
Bahan pengajaran merupakan apa sahaja yang digunakan dalam pengajaran merangkumi alat dan isi pelajaran. Bahan pengajaran terbahagi kepada dua jenis iaitu bahan hidup dan bahan bukan hidup. Bahan hidup ialah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Manakala untuk bahan bukan hidup ialah elektronik (audio dan visual), bukan elektronik (bahan cetak), bahan-bahan dimensi (semulajadi dan buatan manusia). Ia berfungsi sebagai rangsangan untuk mewujudkan situasi pembelajaran yang lebih bermakna dan membantu murid memahami apa yang diajar. Bahan pengajaran bukan sahaja membantu guru menjelaskan apa yang hendak diajar, tetapi juga membantu murid memahami apa yang diajar.
Pengurusan sumber merupakan satu proses memilih, menyusun, mengguna dan menyimpan bahan serta alat supaya proses pengajaran dan pembelajaran sempurna. Sumber pendidikan digunakan sebagai segala bahan dan alat yang dapat membantu guru mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Pengurusan sumber bertujuan untuk mewujudkan suasana dan persekitaran pendidikan yang hidup dan mencabar. Hal ini dapat menimbulkan minat dan semangat untuk murid belajar. Selain itu, pengurusan sumber penting dalam memastikan aktiviti-aktiviti bilik darjah berjalan dengan lancer tanpa gangguan selain dapat menjamin perkembangan pembelajaran murid. Contoh dalam pengurusan sumber, buku-buku boleh disimpan pada rak buku terbuka, manakala gambar-gambar boleh disimpan di sampul surat atupun folder menegak.

RUMUSAN
Pengurusan bilik darjah yang berkesan mampu meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Seorang guru seharusnya mampu mengurus bilik darjah dan mengawal tingkah laku pelajar agar proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dengan lancar dan berkesan tanpa gangguan. Segala pelancaran dalam pengurusan bilik darjah mampu mempengaruhi motivasi, tingkah laku serta penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, guru mestilah bijak memainkan peranannya sebagai pengurus dalam bilik darjah dengan mewujudkan bilik darjah yang kondusif demi meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran sehingga ke peringkat optimum, serta bijak dalam mengurus bilik pembelajaran mengikut kesesuaian keperluan semasa.

RUJUKAN

Afzan, M.A. (2018, Mac 20). Konsep Pengurusan Bilik Darjah. Diperoleh daripada: https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/03/konsep-pengurusan-bilik-darjah.html.



Alwi, K. (2008, Apr 30). Pengurusan Bilik Darjah. Diperoleh daripada: http://profblogs.blogspot.com/2008/04/pengurusan-bilik-darjah-by-khairi-hj.html

Ezat,C. (2020, Jan 5). Pengurusan Bilik Darjah. Diperoleh daripada: http://muhamadaizat.blogspot.com/p/pengurusan-bilik-darjah.html


Disediakan oleh: Lam Mei Chen
(D20191088477)

没有评论:

发表评论