PENDAHULUAN
Menurut Jaafar Muhammad (1998), pengurusan ialah satu proses mengagihkan input-input organisasi dengan cara perancangan, pengorganisasian, pengarahan dan pengawalan bagi tujuan untuk mengeluarkan output (perkhidmatan) yang diperlukan oleh pelanggan supaya objektif organisasi tercapai.
Menurut Azman B. Hj Adnan (Institut Aminuddin Baki) dalam Kursus Pengurusan dan Kepimpinan menyatakan bahawa berlandaskan konsep asas pengurusan, pengurusan murid merupakan satu proses mengendalikan sama ada manusia atau fizikal dengan tujuan untuk mencapai matlamat dan objektif pada tahap yang memuaskan. Dalam erti kata lain, pengurusan murid merupakan proses-proses yang berkaitan dengan perancangan kerja atau program bagi murid, pengelolaan murid dan program secara berkesan, pengawalan dan penilaian prestasi murid dan program serta pemilihan cara atau kaedah yang berkesan dalam pengurusan organisasi.
Pengurusan murid merupakan salah satu bahagian yang sangat penting dalam pentadbiran sekolah. Hal ini demikian kerana pengurusan murid ini berkaitan dengan usaha untuk melahirkan murid yang berkualiti dan mampu membawa perubahan terhadap negara dalam pelbagai aspek pada suatu hari nanti. Pengurusan murid juga memperlihatkan bahawa perancangan dan pengurusan yang baik dan sistematik akan mewujudkan suasana pembelajaran yang baik dan sempurna. Komponen-komponen yang sangat penting dalam pengurusan murid adalah seperti mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar, dan memotivasikan murid.
ISI PENTING
Tiga isi penting yang telah saya pelajari dari topik ini ialah berkaitan tiga aspek penting dalam pengurusan murid iaitu mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid.
Mengurus Rekod Murid.
Mengurus rekod murid boleh didefinisikan sebagai bidang pengurusan yang bertanggungjawab untuk menjaga, bersistematik mengawal penciptaan, penerimaan, penggunaan dan ciri rekod termasuklah proses menjaga dan memelihara bukti dan maklumat murid ke dalam bentuk rekod. Hal ini menandakan bahawa mengurus rekod murid adalah satu perkara yang perlu dilakukan supaya maklumat yang berkaitan dengan murid dapat disusun dan disimpan dengan teratur, cekap dan selamat dari perkara-perkara yang akan memusnahkannya. Hal ini secara tidak langsung memberi kesan yang mendalam kerana data berkenaan murid amat diperlukan bagi merancang strategi pengajaran dan pembelajaran.
Tujuan mengurus rekod murid adalah untuk memantapkan sistem pengurusan murid di sekolah. Profil murid juga dikemaskinikan agar sentiasa mengikuti perkembangan semasa kehidupan murid tersebut, contohnya seorang murid yang bertukar alamat rumah dalam keadaan diketahui oleh pihak sekolah dapat mengelakkan kesulitan terhadap pengurusan pihak sekolah jika ingin menghantar surat atau mengunjungi ke rumah pelajar tersebut atas urusan kebajikan.
Rekod murid juga bertujuan untuk mengetahui perkembangan akademik, emosi, sahsiah dan tingkah laku pelajar selain bagi menyediakan maklumat lengkap mengenai kemajuan pelajar dalam segala aspek perkembangan potensi (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek). Paling utama ialah rekod murid sebagai panduan kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri, di mana ibu bapa dapat mengetahui kemajuan dan kebolehan anak mereka manakala murid pula dapat mengetahui potensi masing-masing. Antara jenis-jenis rekod murid ialah rekod pendaftaran, rekod kutipan yuran, jadual kedatangan, rekod prestasi, rekod profil, buku kemajuan murid dan kad himpunan 001 & 002. Pengurusan rekod murid juga dapat memastikan catatan segala maklumat yang lengkap mengenai murid yang bermasalah selain membawa kepada penyelesaian masalah murid.
Kesediaan Murid Belajar.
Kesedian murid belajar membawa maksud keadaan dalam individu yang bersedia dan berkebolehan untuk memperolehi sesuatu pengalaman pembelajaran yang baru. Piaget (1996), mengaitkan kesediaan belajar dengan peringkat perkembangan kognitif murid. Apa jua perkara yang dapat disampaikan secara berkesan kepada kanak-kanak pada bila-bila peringkat perkembangannya (Brunner, 1966). Oleh itu, kesediaan murid belajar juga boleh didefinisikan kepada tahap kesediaan pelajar sewaktu belajar perlu dianalisis oleh guru-guru. Melalui tahap yang dikaji, guru-guru dapat mengatasi masalah yang tidak diingini seperti berlakunya konflik semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Jenis kesediaan pelajar terbahagi kepada 3 iaitu afektif, kognitif dan psikomotor. Kesediaan kognitif berkait rapat dengan mental untuk memahami dan berfikir di mana perkembangan mental bergantung kepada umur seseorang. Dalam proses pembelajaran, setiap individu menunjukkan emosi berbeza walaupun dalam situasi yang sama. Kesediaan afektif merujuk kepada sikap, keinginan, minat dan ketekunan seseorang individu untuk menerima pelajaran yang disampaikan oleh guru mereka. Pelajar yang mempunyai kesediaan afektif ialah pelajar yang bersifat positif dan minat terhadap pelajaran yang akan memainkan peranan yang aktif dan agresif dalam sebarang aktiviti. Penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal termasuk perkembangan fizikal iaitu fungsi anggota dan pengawalan penyelarasan penggerak di dalam seluruh badan pula merupakan kesediaan psikomotor. Hal ini juga merujuk kepada potensi atau kematangan fizikal dan kesediaan untuk melakukan proses pembelajaran yang baru.
Seterusnya, masalah perbezaan kesediaan belajar. Masalah ini berlaku meliputi 6 aspek iaitu perbezaan perkembangan mental, perbezaan sikap dan minat, perbezaan kadar pertumbuhan fizikal, perbezaan keyakinan diri, perbezaan jantina dan perbezaan dalam diri individu. Perbezaan perkembangan mental ini berlaku dalam peringkat umur yang sama, tetapi kanak-kanak mempunyai corak perkembangan kecerdasan yang berbeza. Perkembangan ini wujud secara semulajadi. Guru akan menghadapi masalah melayani murid mengikut perbezaan yang wujud. Selain itu, perbezaan sikap dan minat. Dalam hal ini, murid yang berminat akan mencapai prestasi yang cemerlang dalam pembelajaran walaupun wujud perbezaan ini, murid masih ditempatkan dalam kelas atau aliran yang sama. Hal ini mambawa masalah kepada guru untuk memilih isi kandungan, bahan dan alat bantu mengajar yang sesuai. Di samping itu, dalam kadar pertumbuhan fizikal yang berbeza, setiap individu mempunyai corak pertumbuhan yang unik. Kanak-kanak dalam kumpulan umur yang sama tidak mempunyai kebolehan yang sama (ada kelebihan dan kelemahan tersendiri). Hal ini mendatangkan masalah kepada guru dalam merancang pelajaran yang memberi kepuasan kepada mereka.Selain daripada itu, perbezaan keyakinan diri turut menjadi masalah dalam kesediaan belajar. Hal ini dapat dilihat apabila pelbagai status sosioekonomi membina keyakinan yang berbeza. Oleh itu, murid yang datang daripada latar belakang keluarga yang miskin dan kurang akan menceburkan diri mereka dalam pembelajaran yang aktif. Hal ini kerana, mereka akan lebih berkeyakinan diri dan lebih berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diinginkan. Dalam pada itu, perbezaan jantina pula ialah lelaki dan perempuan yang mempunyai perkembangan biologi dan fizikal yang berbeza. Pertumbuhan peringkat remaja, perempuan akan berkembang lebih pesat dan mencapai kedewasaab berbanding lelaki. Masalah kesediaan belajar berpunca daripada pengaruh nilai kebudayaan terhadap jantina. Oleh itu, guru haruslah menyedari perbezaan jantina semasa membuat perancangan pelajaran. Akhir sekali, masalah perbezaan dalam kesediaan belajar ialah perbezaan dalam diri individu. Kebolehan yang berbeza dalam bidang tertentu. Sebagai contoh, seorang murid yang cerdik tidak semestinya pandai dalam semua perkara. Oleh itu, guru tidak boleh menggolongkan murid sebagai ‘pandai” dalam satu bidang pengajaran. Perancangan pelajaran perlu mengambil kira masalah perbezaan yang wujud dalam diri individu.
Memotivasikan Murid.
Motivasi bermaksud tingkah laku untuk mencapai keinginan dalam diri setiap pelajar yang dapat bantuan daripada guru yang menyebabkan murid sentiasa ingin berusaha. Motivasi ini juga merupakan sesuatu yang diberi sehingga mampu menaikkan semangat respond untuk mencapai tujuan utama mereka. Pelajar-pelajar akan bersemangat dalam mempelajari ilmu pengetahuan sekiranya guru-guru sentiasa memberikan motivasi secara berterusan. Oleh itu, bantuan daripada guru akan menyebabkan murid sentiasa berusaha bersungguh-sungguh.
Terdapat dua hubungan motivasi murid dan pembelajaran iaitu murid motivasi rendah dan murid motivasi tinggi. Antara contoh murid motivasi rendah ialah tidak peduli akan pencapaian sendiri serta pasif dan malas dalam pembelajaran. Bagi murid motivasi tinggi pula merupakan individu yang sentiasa membuat semakan akan prestasi sendiri dan juga kritis dan kreatif dalam pembelajaran.
Teknik intrinsik merupakan hasil dorongan dalaman dan minat seseorang untuk melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan ganjaran dan ianya merupakan sifat semulajadi seseorang dengan unsur yang sedia ada dalam proses pembelajaran dan boleh terbentuk juga dari pengalaman. Teknik ekstrinsik pula sebaliknya, di mana dipengaruhi oleh rangsangan luar iaitu sesuatu aktiviti yang membawa faedah kepada dirinya.
Antara cara guru meningkatkan motivasi kepada pelajar adalah melalui persekitaran pengajaran dan pembelajaran dan pembelajaran koperatif dan kolaboratif. Kedua-dua cara ini sangat penting bagi meningkatkan prestasi pelajar dan mereka dapat belajar dengan lebih tenang. Para guru boleh meningkatkan motivasi kepada pelajar melalui menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang mampu memberangsang pelajar untuk menjadi lebih baik. Sebagai contoh persekitaran yang baik ialah menyediakan suasana bilik darjah yang kondusif untuk pelajarnya, menentukan sasaran dan taraf pencapaian akademik yang perlu dicapai dan memastikan penglibatan pelajar dalam semua aktiviti pembelajaran di dalam atau di luar kelas. Seterusnya, pembelajaran koperatif dan kolaboratif di mana mewujudkan suasana tolong-menolong antara pelajar dan sentiasa mengingati dan mendorong pelajar yang lemah dalam usaha meningkatkan pencapaian kerja mereka. Sebagai contoh, guru haruslah menyarankan murid yang pandai membantu murid yang lemah tetapi bukan mengasingkan mereka yang lemah dengan yang lemah dan mereka yang pandai dengan yang pandai. Seharusnya guru mencampurkan mereka agar murid yang pandai dapat membantu rakan mereka yang lemah dan tidak membiarkan rakan mereka tidak memahami. Selain itu, peneguhan positif dan negatif juga merupakan salah satu cara yang boleh diambil oleh para guru dalam memotivasikan pelajar. Peneguhan positif ialah memberi pujian atau menganugerahkan pelajar dengan satu gelaran yang baik bagi mendorong pelajar untuk mencapai matlamat dan juga hasil pembelajaran yang ingin dicapai. Manakala peneguhan negatif ialah mengasingkan tempat duduk pelajar yang mempunyai tingkah laku yang kurang baik dari pelajar yang baik agar ianya mampu mengelakkan terganggunya suasana proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
RUMUSAN
Kesimpulannya, pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Dalam sesebuah organisasi memerlukan pengurusan murid yang baik seperti rekod murid yang tersusun dan lengkap, mengetahui tahap kesediaan murid dan akhir sekali motivasi. Ketiga-tiga pengurusan murid ini mempunyai kepentingan tersendiri sebagai contoh motivasi yang merupakan satu sesi atau proses yang amat diperlukan dalam mendidik pelajar. Tanpa motivasi sudah tentu pelajar yang kurang pandai akan kehilangan keyakinan diri dan berasa semakin tidak bersemangat kerana tiadanya semangat serta dorongan dari para tenaga pengajar. Oleh itu, peranan guru bukan hanya mendidik dan menyampaikan ilmu, tetapi hendaklah menitikberatkan setiap aspek tersebut dalam menguruskan murid untuk memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran.
RUJUKAN
Analogy, C. (2018, Nov 11). Pengurusan Pembelajaran-Pengurusan Murid. Diperoleh daripada: http://pengurusanpembelajaran13a.blogspot.com/2018/11/pengurusan-murid.html
Fahan. (2018, Nov 25). Tajuk 5: Pengurusan Murid. Diperoleh daripada:
Fatin,N. (2018, Dec 6). Pengurusan Murid/Pelajar. Diperoleh daripada: https://fatinlilyana.wordpress.com/2018/12/06/tajuk-5-pengurusan-murid-pelajar/
Disediakan oleh: Lam Mei Chen
(D20191088477)
没有评论:
发表评论